DUA legenda tinju dunia, Mike Tyson dan Roy Jones Jr dilihat sudah bersedia untuk bertarung awal pagi esok selepas masing-masing sudah menjalani proses timbang berat badan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat petang tadi.
Tyson yang terkenal dengan gelaran Iron Mike itu akan turun beraksi dengan berat 99 kilogram (kg) sementara Roy Jones Jr 95 kg.
Bagaimanapun, berat tersebut berkurang berbanding ketika perlawanan terakhirnya 15 tahun ketika menentang Kevin McBride pada tahun 2005 iaitu 106kg.
“Tugas saya untuk melepaskan tumbukan dan yang lain terpulang kepada Jones. Saya juga berjanji tidak akan lari ketika berada di gelanggang.
“Saya akan menghampirinya dan dia tidak perlu risau tentang saya. Jika saya berlari sekali pun, saya akan berlari ke arahnya,” kata Tyson.
Sementara itu, Jones Jr. tidak bimbang dengan gerakan-gerakan baharu yang akan dipamerkan oleh Tyson dan bersiap sedia untuk menghadapinya.
“Saya tidak dapat memberitahu anda bagaimana saya akan melakukannya. Mungkin strategi saya kelihatan salah tetapi percayalah ia akan menjadi di dalam gelanggang nanti,” kata Jones Jr. – AGENSI