fbpx

Tidak fasih bahasa Melayu memalukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Tidak tahu di mana silapnya, masih ada rakyat yang bukan sahaja tidak fasih bahasa Melayu, malah langsung tidak faham.

Bahasa yang sepatutnya me­nyatukan rakyat rupa-rupanya menjadi penghalang kepada komunikasi sesama warganegara.

Sudah terlalu banyak contoh warganegara yang tidak memahami bahasa Melayu. Lihat sahaja kes-kes pendakwaan di mahkamah, ramai tertuduh tidak faham pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Melayu.

Sebagai contoh, kes seorang anak membunuh bapanya di Melaka baru-baru ini. Lelaki berusia 38 tahun itu tidak faham pertuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa kebangsaan sehinggakan mahkamah terpaksa menggunakan khidmat jurubahasa.

Begitu juga dengan kes pendakwaan di Johor Bahru, Johor pada bulan lalu. Tertuduh yang berasal dari Sabah tidak memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya sehingga Hakim Kamarudin Kamsun naik hairan.

Ia begitu menghairankan sehingga Kamarudin terpaksa bertanya kepada tertuduh mengapa dia tidak memahami bahasa Melayu sedangkan sudah 30 tahun menetap di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, wujudnya warganegara yang tidak menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara memang mengecewakan.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan disebut bahawa seseorang warganegara diperlukan menguasai tahap asas bahasa Melayu, sekurang-kurangnya faham dan dapat bertutur.

“Apabila timbul kes bahasa asing terpaksa digunakan di mahkamah melalui khidmat jurubahasa, hal itu menunjukkan bahasa negara tidak dihormati, semata-mata kerana pihak yang dibicarakan atau saksi tidak dapat berbahasa kebangsaan.

“Malah ada kes hakim me­minta perbicaraan dalam bahasa Inggeris kerana ia tidak menguasai bahasa Melayu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, kajian pernah dibuat dalam kalangan peserta Program Latihan Khidmat Negara dahulu dan didapati ada peserta tidak dapat berbahasa kebangsaan.

“Jika diamati lebih mendalam, isu penguasaan bahasa kebangsaan turut berlaku dalam kalangan sesetengah pemegang jawatan penting, sehingga mesyuarat dilaksanakan dalam bahasa a­sing atau bahasa bercampur aduk.

Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan jelas menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di tiga tahap pentadbiran negara iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan ne­geri dan pihak berkuasa awam.

Beliau berpandangan, selain soal sikap, soal penguasaan mungkin menjadi penghalang pelaksanaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara oleh sesetengah penjawat awam.

Justeru katanya, kerajaan perlu mengatasi isu itu dengan langkah yang tegas.

“Bagi masyarakat umum, boleh digerakkan kelas dewasa seperti yang pernah diadakan pada tahun-tahun awal kemerdekaan untuk mengatasi masalah buta huruf,” ujarnya.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh diberi tanggungjawab itu dan DBP bersedia membantu kementerian.

“Selain itu, media kerajaan dan swasta perlu mengadakan sia­ran berbentuk bimbingan bahasa secara menarik.

“Bagi penjawat awam, aspek penguasaan bahasa patut dijadikan salah satu ukuran prestasi tahunan dan kenaikan pangkat mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI