KEMAMAN – Sepasang suami isteri yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tetap komited berkhidmat untuk masyarakat meskipun rumah mereka ditenggelami banjir sehingga paras bumbung.
Erawati Jaafar, 36, berkata, sewaktu rumah mereka di Kampung Teladas, Air Putih dekar sini dinaiki air bah kelmarin, dia dan suami, Roslan Hassan, 48, sedang bertugas di pasar pagi kampung berhampiran.
“Kami bertugas sejak pukul 7 pagi sebelum dimaklumkan perkampungan kami sudah dilanda banjir.
“Saya minta suami (Roslan) pulang awal untuk mengemas barang-barang penting di rumah. Mula-mula ingatkan banjir biasa rupa-rupanya hingga ke paras bumbung,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbanguna Kampung Air Putih di sini hari ini.
Erawati berkata, sewaktu suaminya tiba di rumah pada pukul 8 pagi, rumahnya sudah dinaiki air bah setinggi pinggang dan lelaki itu hanya sempat menyelamatkan dokumen penting mereka.
Menurutnya, sebahagian barangan peribadi dan peralatan rumah yang diletakkan di atas para rumah mereka juga tidak dapat diselamatkan kerana paras banjir kali ini lebih tinggi.
“Perabot dan televisyen yang baru dibeli beberapa bulan lalu pun rosak. Paling saya terkilan tidak dapat menyelamatkan pakaian seragam dan buku teks sekolah tiga anak saya yang berusia enam hingga 12 tahun. – K! ONLINE