fbpx

Semua 59 DUN Perak dapat peruntukan tambahan RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal

IPOH – Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM50,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain banjir bantuan itu juga turut membantu mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) di kawasan-kawasan tertentu.

Katanya, sumbangan itu adalah untuk diagihkan secara terus kepada golongan sasar di kawasan masing-masing.

“Bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa 4 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.95 juta ini akan disalurkan melalui semua 59 Pusat Khidmat DUN, termasuk 24 DUN pembangkang.

“Sumbangan ini adalah sebagai tanda keprihatinan pentadbiran Kerajaan Negeri kepada semua golongan sasar yang memerlukan pembelaan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bagi meringankan beban mereka mengharungi tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini sebelum ini telah menyalurkan keseluruhan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada 59 Pusat Khidmat DUN di seluruh negeri.

Katanya, ia dibuat secara empat kali bayaran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac hingga Mei tahun ini untuk disalurkan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing.

“Kerajaan negeri berharap agihan bantuan terkini sebanyak RM50,000 ini akan dilaksanakan secara teratur dan telus, bagi mencapai matlamatnya iaitu sampai kepada golongan sasar tanpa mengira perbezaan politik.

“Saya juga berharap supaya setiap Pusat Khidmat DUN mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menjalankan urusan agihan bantuan bagi mengekang gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI