PUTRAJAYA – Pelaksanaan saringan Covid-19 bagi pekerja asing di kawasan berisiko tinggi akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat mulai 1 Disember ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pelaksanaan ujian saringan secara berkala pada tarikh itu akan dimulakan di daerah Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan yang dikategorikan sebagai zon merah.
Beliau berkata, pelaksanaan ujian itu seterusnya akan dibuat di lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 9 Disember depan.
Menurutnya, seluruh negeri Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan lain-lain daerah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula bermula pada 16 Disember depan.
“Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan program saringan Covid-19 bagi pekerja asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi.
“Ujian saringan ini akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada daerah-daerah berisiko tinggi mulai 1 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan Covid-19 akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.
Beliau berkata, ujian saringan itu akan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dan kit ujian akan dibiayai oleh Perkeso.
“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital.
“Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata, program saringan itu merupakan kolaborasi di antara agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh meliputi aspek saringan, pemantauan dan pengurusan kes selepas ujian dijalankan.
“Program ini akan dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta446) bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing,” katanya.
Maklumat lanjut berkenaan program itu akan dikemas kini di portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my).
Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089. – K! ONLINE