KUALA TERENGGANU – Pasar Payang 2 yang sebelum ini meriah sebagai lokasi utama tumpuan pelancong ke Terengganu kini berubah 360 darjah.
Bilangan pengunjung merosot mendadak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada awal bulan ini membuatkan pusat sehenti jualan produk tempatan Terengganu itu menjadi sunyi sepi.
Seorang peniaga, Rosmaliza Abdul Wahab berkata, kehadiran pengunjung masih tidak memberangsangkan termasuk pada hujung minggu walaupun PKPB di negeri tersebut telah ditamatkan sejak seminggu lalu.
Dia yang mengusahakan kedai produk batik, Aida Batik berkata, perniagaan di Pasar Payang 2 yang sebelum amat rancak seiring dengan kedatangan pelancong domestik pada awal Jun lalu terencat apabila PKPB dilaksanakan semula pada awal bulan ini.
“Walaupun PKPB ditamatkan awal pada 21 November lalu, kehadiran pelanggan masih tidak begitu memberangsangkan seperti dahulu.
“Apatah lagi PKPB masih dikuatkuasakan di banyak negeri lain termasuk Lembah Klang yang tidak membolehkan mereka merentas negeri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Seorang peniaga lain, Siti Hanisah Ariffin berkata, perniagaan masih berjalan seperti biasa di Pasar Payang 2 walaupun pada musim tengkujuh kerana premis yang terletak berhampiran pusat bandar raya ini tidak pernah terjejas dengan banjir.
Begitupun, pengusaha gerai Keropok Nisa dan Fauzi itu berkata, rata-rata peniaga di Pasar Payang 2 terpaksa memendekkan waktu operasi harian kerana kekurangan pelanggan.
“Kami sudah menutup kedai pada pukul 5 petang sedangkan sebelum ini pukul 6.30 petang pun masih ramai pelanggan.
“Saya cuba alternatif lain dengan menjual produk keropok menerusi online tetapi setakat ini sambutannya juga kurang memberangsangkan,” katanya.