PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menyediakan laman interaktif khas sebagai panduan kepada rakyat Malaysia yang ingin mengetahui lebih lanjut manfaat yang bakal mereka dinikmati menerusi Belanjawan 2021.
Maklumat lengkap manfaat Belanjawan 2021 itu boleh dilayari menerusi pautan
http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat.
Pautan itu turut dikongsi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, laman interaktif itu akan membantu individu, peniaga dan pencari kerja meneliti manfaat-manfaat yang dapat diperoleh bermula tahun hadapan.
“Selain itu, portal rasmi ini juga menyediakan beberapa lagi informasi yang boleh dimuat turun seperti infografik, teks ucapan dan ringkasan Belanjawan 2021.
“Saya harap kemudahan ini dapat memberi kelebihan kepada rakyat dalam mendapatkan informasi yang betul dan tepat,” katanya.
Portal itu menyediakan tiga kategori khas bagi memudahkan rakyat iaitu individu, peniaga dan bantuan pekerjaan.
Jika pengguna klik pada kategori individu, mereka akan disambungkan terus kepada enam pilihan yang perlu dipilih seperti jumlah pendapatan isi rumah, wanita, belia, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Selepas klik pada kategori berkenaan, pengguna kemudian akan disambungkan terus kepada pilihan kategori manfaat yang ditawarkan termasuk bantuan kewangan, bantuan pembiayaan, bantuan kesihatan, pelepasan cukai dan lain-lain. -K! ONLINE