BRAGA, Portugal – Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers menghambur pujian kepada penyerang prolifiknya, Jamie Vardy yang muncul penyelamat membantu The Foxes mara ke peringkat kalah mati Liga Europa musim ini.
Ia selepas Vardy yang masuk menggantikan Cengiz Under dalam babak kedua, meledak gol penyamaan Leicester beberapa saat sebelum tamat perlawanan untuk meraih keputusan seri 3-3 ke atas wakil Portugal, SC Braga di Estadio Municipal de Braga awal pagi semalam.
Keputusan memasukkan Vardy dan seorang lagi pemain gantian, James Maddison membawa hasil buat Leicester kerana satu mata itu sudah cukup untuk melayakkan mereka ke peringkat kalah mati walaupun berbaki dua perlawanan.
“Sesuatu yang sangat bagus apabila berjaya mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati lebih awal. Objektif pertama tercapai dan sekarang kami akan cuba meraih status juara kumpulan.
“Saya menggunakan formasi permainan 3-1-4-2 sebelum kemasukan Vardy dan Maddison yang telah mengubah keputusan perlawanan ini.
“Kami tiga kali ketinggalan tetapi mereka berdua berjaya menyelamatkan maruah Leicester,” kata Rodgers.
Hasrat Braga untuk meraih tiga mata tidak kesampaian meskipun tiga kali mendahului Leicester dalam perlawanan itu menerusi jaringan Ali Al Musrati seawal minit keempat, Paulinho (m-24) dan Fransergio Barbosa (m-90).
Bagaimanapun, The Foxes sama sekali tidak cepat mengalah apabila tiga kali bangkit menyamakan kedudukan bermula dengan jaringan Harvey Barnes (m-9), Luke Thomas (m-79) dan Vardy pada minit ke-95. – AGENSI