MANCHESTER – Pemain tengah Manchester City, Phil Foden sedia untuk terus menggalas tugas menjaringkan gol menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Burnley di Stadium Etihad malam ini.
The Citizens gagal menampilkan aksi sebenar pada saingan Liga Perdana musim ini apabila sekadar mencatat tiga kemenangan dalam lapan perlawanan selain hanya menjaringkan 10 gol.
Meskipun mencipta banyak peluang, namun ia gagal diterjemah kepada jaringan memandangkan duo serangan, Sergio Aguero dan Gabriel Jesus belum cergas sepenuhnya.
“Saya tahu kami tidak jaringkan banyak gol musim ini, jadi ia sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh semua pemain. Kami banyak cipta peluang, namun gagal untuk manfaatkannya.
“Sudah tentu saya gembira apabila dapat jaringkan gol untuk pasukan. Saya bermain di bahagian serangan, oleh itu saya perlu jaringkan gol ataupun melakukan umpanan kepada rakan sepasukan,” tegas Foden.
Pada aksi Liga Juara-Juara menentang Olympiakos kelmarin, pemain antarabangsa England itu menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memberikan kemenangan dan memastikan City layak ke pusingan 16 pasukan terbaik. – AGENSI