fbpx

K2

Derita isteri tujuh tahun tanpa nafkah batin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIDA terpaksa menipu mengaku berzina dengan lelaki lain agar diceraikan.

PERKAHWINAN dengan Zamarul (bukan nama sebenar) bukanlah perkahwinan pertama buat Aida (bukan nama sebenar), 45. Wanita itu mengenal erti kehidupan berumah tangga sejak berumur 16 tahun lagi, malah dia sudah menimang dua cahaya mata seawal pada usia 18 tahun.

Genap usianya 36 tahun, Aida sudah berkahwin kali ketiga selepas dia bercerai dengan suami pertama dan suami pula kedua meninggal dunia. Bagi perkahwinan ketiga, Aida memilih seorang warga emas iaitu Zamarul, 68, selepas dia diperkenalkan dengan kakak lelaki itu.

Pada awalnya, dia tidak yakin untuk mendirikan rumah tangga dengan Zamarul, namun selepas dipujuk, pintu hati Aida terbuka untuk mencintai lelaki warga emas itu.

Sebulan selepas perkahwinan Aida dan Zamarul, wanita yang berasal dari negeri Pantai Timur itu mula hairan apabila suami langsung tidak menunjukkan minat untuk mendekatinya.

“Saya agak curiga apabila suami tidak langsung menyentuh saya seperti pasangan yang sudah berkahwin. Apabila ditanya, Zamarul tidak mahu menjawab dan sering mencari alasan dengan menukar topik lain.

“Selepas mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk memujuk, Zamarul akhirnya mengaku bahawa dia sudah mati pucuk dan tidak mampu menunaikan nafkah batin kepada saya,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Menurut Aida, dia amat tersentak dengan pengakuan suaminya itu malah berasa diri tertipu apabila Zamarul tidak pernah langsung membuka mulut memaklumkan kepadanya mengenai perkara tersebut sebelum atau selepas mereka berkahwin.

Dari segi yang lain, kata Aida, Zamarul merupakan seorang suami yang baik apabila dia tidak pernah lokek harta dan wang kepada dirinya.

Cerita Aida, sepanjang tujuh tahun perkahwinannya dengan Zamarul, dia boleh diibaratkan seperti jururawat apabila tanggungjawabnya hanya menyediakan ubat, makanan dan tempat tidur kepada suami.

Ujarnya lagi, Zamarul merupakan seorang hartawan yang memiliki banyak tanah, rumah yang disewakan dan harta peninggalan keluarganya.

“Disebabkan itu, Zamarul tidak pernah kedekut dengan saya. Apa yang saya minta, semua akan dapat. Dia juga memberikan tanah dan sebuah rumah kepada saya.

“Zamarul juga baik budi pekerti dan tahu menjaga hati saya. Dia juga mempunyai ilmu agama yang tinggi. Banyak ilmu agama yang saya pelajari daripadanya terutama dari aspek pembacaan al-Quran,” katanya.

Menurut Aida, meskipun Zamarul memanjakan dengan harta, dia mengakui bahawa itu tidak cukup sebagai seorang isteri.

Katanya, ketika usia perkahwinan menjengah empat tahun, dia pernah meminta untuk bercerai, namun ditolak oleh Zamarul kerana lelaki itu amat menyayanginya.

Pengakuan palsu

Ujar Aida, sebagai seorang isteri, dia merasa amat tertekan apabila tidak diberikan hak nafkah batin terhadapnya sehingga dia terpaksa meminta cerai daripada Zamarul.

“Tidak boleh dinafikan, saya amat tertekan.

“Saya pernah berkahwin dua kali sebelum ini dan suami sebelumnya mampu memberi nafkah batin, namun sebaliknya ketika bersama Zamarul.

“Sudahlah saya tidak bekerja dan hanya menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah, hak nafkah batin yang sepatutnya diberikan oleh suami telah dinafikan atas faktor dirinya yang sudah mati pucuk,” katanya yang pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Jepun suatu ketika dahulu.

Cerita Aida, dia pernah membawa Zamarul untuk berubat di hospital serta secara tradisional, namun penyakit mati pucuk yang dialami suaminya itu tidak boleh dirawat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia bertambah tertekan sehingga nekad untuk bercerai dengan Zamarul ketika usia perkahwinan mereka tujuh tahun.

“Saya terpaksa menipu Zamarul bahawa telah berzina dengan lelaki lain semata-mata untuk dia lepaskan saya. Zamarul pada awalnya tidak percaya, namun selepas didesak oleh anak-anaknya, dia akur dan menceraikan saya.

“Terus terang, saya langsung tidak menyesal dengan perbuatan itu. Saya telah berfikir panjang sebelum membuat pengakuan palsu itu kepada Zamarul. Saya berusia 45 tahun ketika itu, malah mempunyai naluri dan keinginan sebagai seorang isteri,” katanya.

 

SETIAP suami dan isteri mempunyai hak masing-masing yang perlu ditunaikan.– ZULHANIFA SIDEK

 

Susulan perceraian itu, Aida diceraikan tanpa sebarang edah apabila dia langsung tidak disentuh Zamarul sepanjang tujuh tahun perkahwinan.

Cerita Aida, sewaktu prosedur perceraian, Hakim di mahkamah syariah telah memutuskan bahawa kes cerai tanpa edah yang dihadapi oleh dirinya jarang berlaku apabila dia mampu bertahan dalam tempoh yang begitu lama.

“Hakim terkejut apabila saya mampu bertahan sehingga tujuh tahun. Hakim juga memaklumkan, kebiasaannya wanita yang baru berkahwin hanya akan bertahan selama beberapa bulan sahaja sekiranya suaminya mati pucuk,” katanya.

Selepas mereka bercerai, anak-anak Zamarul telah membuka fail di Mahkamah Syariah untuk menuntut kembali tanah dan rumah yang dihadiahkan oleh bapanya kepada Aida.

Bagaimanapun, Aida menang dalam perbicaraan itu apabila anak-anak Zamarul gagal mengemukakan bukti kukuh sewaktu prosedur mahkamah yang mengatakan dia curang sekali gus mereka tiada hak untuk mendapatkan kembali tanah dan rumah itu.

Menurut Aida, dia kini bahagia dengan perkahwinan keempatnya bersama Shamsul, 69 (bukan nama sebenar) yang dikenalinya di Raub, Pahang.

Katanya, meskipun menjadi isteri kedua kepada Shamsul, lelaki yang juga bekas seorang bilal itu mampu memberikan nafkah yang diperlukannya sepanjang dua tahun perkahwinan mereka.

“Biarlah saya hina di mata anak-anak Zamarul apabila mereka percaya saya curang. Mereka tidak tahu penderitaan saya selama tujuh tahun berkahwin tanpa diberikan nafkah batin. Ia amat menyeksakan.

“Bagaimanapun, saya tahu Zamarul merupakan seorang suami yang baik. Saya tahu hati budinya. Sedikit pun dia tidak pernah mengajar saya perkara yang tidak baik sepanjang kami berkahwin,” katanya.

Zamarul bagaimanapun telah meninggal dunia dua tahun lalu selepas diserang penyakit jantung dan darah tinggi.

Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI