Peniaga kecil kini mampu menarik nafas lega dan boleh membuat perancangan strategik untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing kerana hajat untuk berniaga di tapak perniagaan baharu oleh pihak berkuasa tempatan telah kesampaian.
Berniaga secara kecil-kecilan merupakan satu jalan mudah dan singkat untuk menjana pendapatan bulanan bagi menghadapi cabaran dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini.
Bagi peniaga yang kreatif dan berdaya saing dalam mempromosikan jualan, ia akan memberi kelebihan kepada mereka untuk mengaut keuntungan berganda.
Rata-rata jualan para peniaga kecil dengan menu dan hidangan masing-masing di pusat penjaja tersebut telah berjaya memenuhi kehendak dan selera pelanggan mungkin kerana harganya berpatutan.
Pelbagai jualan makanan dan minuman yang ditawarkan bermula daripada pembuka selera hinggalah ke menu pemanis mulut membuatkan pelanggan rambang mata dan ia turut dilengkapi dengan jualan makanan berasal dari Korea dan Jepun yang diolah rasanya bersesuaian dengan cita rasa masyarakat tempatan.
Berkunjung ke pusat penjaja tersebut seolah membayangkan kita berada di bazar Ramadan yang sememangnya popular dalam kalangan masyarakat untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.
Namun di sebalik keghairahan berniaga untuk mencari keuntungan bagi membayar hutang, kos operasi serta komitmen bulanan, para peniaga jangan mengabaikan perkara utama khususnya daripada aspek kualiti, kebersihan dan sumber bahan mentah tersebut.
Mereka perlu memastikan makanan dan minuman tersebut tidak memberi kesan sampingan daripada aspek kesihatan kepada pelanggan sehingga ada yang terpaksa dirawat di klinik atau hospital.
Pastinya pusat penjaja ini bakal dikunjungi peminat tegar makanan dan mereka sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan makanan yang digemari kerana segalanya ada di situ.
Sehubungan itu, jangan dipersiakan hajat pelanggan untuk menikmati makanan dengan hanya menawarkan hidangan berkonsep ala kadar, kedekut dan juga berharga kapitalis.
Pelanggan akan berasa sangat kecewa dan marah malah ada yang berdendam terhadap peniaga jika ada yang terbeli karipap inti oksigen, keria tepung gandum, kuih koci berintikan hampas kelapa, pulut udang hanya berintikan kelapa serta air batu campur (ABC) pelbagai warna tapi kosong tanpa kacang, cendol dan bahan-bahan lain.
Ada juga pelanggan yang kecewa apabila terbeli nasi lemak kedekut santan dan tomyam yang penuh dengan bawang dan serai sahaja.
Perlu diingatkan, kuasa viral dan hebahan di media sosial boleh memberi kesan secara automatik kepada peniaga yang menipu.
Insiden tersebut bukan sahaja akan merugikan peniaga malah memberi kesan terhadap maruah diri mereka yang tidak bertanggungjawab.
Jika disentuh mengenai keberkatan rezeki ia akan melibatkan banyak aspek dalam kehidupan seseorang itu.
Apa yang pasti, untung jual karipap inti oksigen itu tidak akan menjadikan anda seorang jutawan.-K! ONLINE