fbpx

Tiga individu rugi RM39,400 dijerat sindiket pinjam wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Tiga individu di Butterworth dan Kepala Batas di sini berputih mata apabila wang milik mereka lebih RM39,400 lesap selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman wang tidak wujud semalam.

Mangsa iaitu pengurus syarikat lelaki berusia 43 tahun, kerani lelaki berusia 43 tahun dan peniaga online wanita berusia 26 tahun masing-masing mendakwa kerugian sebanyak RM23,311.46, RM13,156 dan RM3,000 selepas terjerat dalam penipuan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa berhasrat membuat pinjaman wang di antara RM10,000 hingga RM50,000 selepas menerima tawaran menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Beliau berkata, mangsa mendakwa telah diminta membuat bayaran proses dan bayaran pengaktifan akaun terlebih dahulu daripada individu mendakwa ejen syarikat sebelum menyedari ditipu selepas berterusan diminta menyerahkan wang.

“Pengurus itu telah melakukan lima transaksi memasukkan wang ke dalam tiga akaun bank berjumlah RM23,311.46, manakala kerani itu membuat lapan transaksi ke dalam akaun bank diberikan oleh seorang individu berjumlah RM13,156.

“Mangsa ketiga yang permohonan pinjaman sebanyak RM30,000 didakwa telah lulus diminta untuk membuat pelbagai bayaran sehingga dia rugi RM3,000 melalui satu transaksi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Noorzainy lagi, siasatan pihaknya mendapati ketiga-tiga mangsa telah terpengaruh dengan tawaran pinjaman menarik selain ansuran bulanan rendah ditawarkan sindiket yang hanya berurusan menerusi WhatsApp.

Beliau berkata, kesemua mangsa membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, kesemua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI