SEREMBAN- Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi 2020/2021 yang dijalankan secara dalam talian atau e-undi berjaya mencatat peratusan pelajar mengundi yang tinggi iaitu 89.79 peratus.
Pengumuman keputusan rasmi Pemilihan MPP USIM dibuat oleh Naib Canselornya, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.
Menurut Mohamed Ridza, peratusan itu mewakili 9,365 orang pelajar daripada 10,429 orang pelajar layak mengundi semalam yang bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang menerusi platform dalam talian.
“Pemilihan MPP ini amat bersejarah kerana keseluruhan prosesnya bermula daripada proses penamaan calon, kempen dan pembuangan undi dilakukan secara dalam talian selain cabaran besarnya para pelajar kini tidak berada di kampus kerana mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PnP) secara dalam talian di rumah.
“Alhamdulillah, saya tidak menjangkakan kita akan mendapat peratusan turun mengundi yang tinggi sebegini kerana menyedari pastinya ada kekangan kepada pelajar memandangkan mereka berada di rumah masing-masing. Ini menampakkan satu semangat bahawa para pelajar kita cakna dalam memilih pemimpin mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Ridza, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan Fakulti Pergigian (FPg) mencatat 100 peratus pelajarnya turun mengundi.
“Tiga buah fakulti lain turut mencatat peratusan pelajarnya yang tinggi mengundi iaitu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (98 peratus) Fakulti Sains dan Teknologi (95.53 peratus) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama mencatat 90.94 peratus.
“Harapan saya adalah sumbangan dan prestasi kepemimpinan baharu MPP USIM akan bertambah baik dan tidak semestinya kehidupan norma baharu ini akan menyebabkan prestasi dan sumbangan mereka akan menurun”, katanya.
Dalam pemilihan kali ini, seramai 39 calon bertanding bagi mengisi kuota sembilan Kerusi Umum manakala 23 calon bertanding bagi mengisi 18 kuota di Kerusi Fakulti.
Pertandingan bagi mengisi Kerusi Fakulti hanya berlaku di empat buah fakulti manakala lima buah fakulti para calonnya diisytihar menang tanpa bertanding. -K! ONLINE