Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Kawalan di laluan tikus dan kawasan sempadan kini dikawal lebih ketat oleh polis selama 24 jam bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, ia bagi mengelak individu berisiko pembawa virus pembunuh tersebut daripada memasuki negeri ini tanpa surat kebenaran.
Abd. Jalil menambah, terdapat lebih 170 anggota telah ditempatkan di laluan tikus serta mengawal sekatan jalan raya di sempadan negeri melibatkan daerah Rompin, Bentong, Bera dan Kuantan.
“Semalam, kita telah mengarahkan 49 individu supaya berpatah balik. Mereka ini dari zon merah dan didapati menggunakan lorong tikus untuk melancong ke negeri ini.
“Kita bertegas dalam perkara ini kerana Pahang masih berada di zon hijau. Kita juga alu-alukan mereka ini menjalani ujian swab (saringan) Covid-19 bagi memastikan mereka negatif ketika memasuki Pahang di samping dapatkan surat kebenaran rentas sempadan negeri daripada pihak polis,” katanya.
Berhubung persiapan menghadapi banjir pula, beliau berkata, pihaknya bersiap sedia sepenuhnya untuk melaksanakan tugas ketika bencana yang dijangka berlaku antara November hingga Mac tahun depan.
Ujar beliau lagi, polis telah melaksanakan program simulasi operasi banjir di Temerloh sebagai langkah persiapan.
“Pemindahan (mangsa) banjir kali ini berbeza daripada tahun sebelum ini. Kita sediakan bilik isolasi (pengasingan). Hanya satu keluarga akan diletakkan dalam satu bilik darjah. Juadah makanan juga akan disediakan secara bungkus berbanding mereka masak sendiri sebelum ini.
“Perbezaan ini terpaksa dilakukan kerana kita sedang berdepan dengan wabak Covid-19. Peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara perlu dipatuhi,” katanya. -K! ONLINE