LIVERPOOL – Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool terpaksa menanggung aib selepas tewas memalukan 0-2 kepada kelab Serie A, Atalanta dalam aksi peringkat kumpulan di Anfield awal pagi semalam.
Bagaimanapun, pengurus The Reds, Jurgen Klopp mengakui anak-anak buahnya berhak untuk tewas pada aksi tersebut kerana kualiti yang ada pada pasukan Atalanta jauh lebih baik berbanding pasukannya.
“Ini bukanlah pengalaman yang bagus untuk dikenang oleh barisan pemain kerana kami beraksi dengan begitu teruk tanpa mencipta sebarang peluang menjaringkan gol. Situasi berbeza buat Atalanta yang dilihat lebih cergas dan tajam di hadapan gawang.
“Secara keseluruhan, kami berhak untuk tewas pada perlawanan ini dan pujian juga wajar diberikan oleh pasukan Atalanta yang mempamerkan aksi luar biasa dengan taktikal yang lebih kemas serta dominan,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah berpengaruh, James Milner mengakui pasukannya tidak perlu risau dengan kekalahan itu memandangkan The Reds masih lagi mengungguli carta Kumpulan D meskipun dicabar rapat oleh Atalanta dan Ajax Amsterdam.
“Saya rasa keputusan ini adalah normal dan bukanlah mengejutkan kerana sukar buat mana-mana pasukan mengekalkan rentak konsisten sepanjang musim. Justeru, saya anggap ini adalah peringatan untuk kami supaya lebih bekerja keras selepas ini.
“Dalam masa yang sama, saya tidak mahu pemain terlalu risau memandangkan kedudukan di tangga teratas liga tidak terjejas dan harus fokus untuk mengutip mata penuh pada baki perlawanan nanti,” katanya. – AGENSI