IPOH – Keperluan barangan asas pengguna sepanjang musim monsun dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh Perak adalah mencukupi dan mudah diperolehi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, jaminan itu diberikan berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas pasar raya utama, peruncit dan pemborong di seluruh negeri.
Katanya, perubahan monsun yang berlaku pada penghujung tahun ini telah mengakibatkan kejadian banjir berlaku di beberapa daerah di negeri Perak.
“Dalam memastikan kedudukan bekalan barang kawalan keperluan asas ketika musim banjir adalah stabil, KPDNHEP Perak sudah menyediakan pelan kontigensi iaitu membuka Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri dan melantik beberapa Pemegang Stok Mini daripada kalangan pasar raya, pemborong dan kedai runcit di sekitar kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir.
“Selain itu, KPDNHEP juga membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan keperluan asas sehingga 30 peratus untuk pemborong dan peruncit terpilih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE