RANTAU PANJANG – Hujan yang tidak berhenti sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa buah kampung yang berada di kawasan rendah di sini mula dinaiki air.
Antara kampung terlibat ialah Lancang, Bongor, Kusar dan Putat 7.
Bagaimanapun, ia tidak melibatkan limpahan air Sungai Golok.
Portal infobanjir.water.gov.my setakat pukul 6 petang tadi melaporkan air Sungai Golok mula meningkat berbanding semalam.
Terkini, paras air sungai yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand itu berada pada paras amaran dan mencecah 8.22 meter berbanding normal iaitu 5 meter.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya sudah mula melakukan rondaan tiga jam sekali untuk memantau paras terkini air Sungai Golok.
“Pada masa yang sama, kita turut memberikan nasihat dan ingatan supaya penduduk segera membuat persiapan menghadapi banjir ekoran cuaca tidak menentu ketika ini.
“Kebanyakan kawasan rendah mula dinaiki air ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo di sini hari ini.-K!ONLINE