fbpx

Jalan ditenggelami banjir rezeki buat nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musa menahan jala di sebatang jalan yang ditenggelami banjir di Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Musim tengkujuh bukan halangan buat seorang nelayan mencari rezeki menangkap ikan.

Musa Mamat, 60, yang tidak dapat turun ke laut ekoran ombak besar dan bergelora mengambil inisiatif menahan jaring di kawasan ditenggelami air banjir di kawasan rumah di Tok Jembal di sini.

“Saya akan menahan jaring untuk menangkap ikan sungai di sebatang jalan yang ditenggelami banjir berhampiran rumah. Itu rutin saya setiap musim tengkujuh sejak 20 tahun lalu. Jalan itu sebenarnya berhampiran kawasan paya.

“Banyak ikan akan terlepas berenang ke jalan berkenaan pada musim banjir yang membawa rezeki kepada saya. Tak dapat tangkap ikan di laut, di darat pun jadi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Musa berkata, dia akan menahan jaring semalaman sebelum mendapatkan hasilnya pada hari berikutnya.

Antara ikan yang sering ditangkap ialah haruan, keli dan puyu.

“Ikan bersaiz besar akan dijual sebagai sumber pendapatan saya pada musim tengkujuh, manakala ikan-ikan kecil untuk dimakan sendiri selain diberi kepada jiran dan kenalan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI