LUMUT – Dua Kapal Maritim (KM) iaitu KM Malawali dan KM Rawa yang berpangkalan di Maritim Malaysia (APMM) Perak berjaya mengusir 173 buah bot nelayan Indonesia (BNI) yang menceroboh perairan Pulau Jarak dekat sini sejak 1 November lalu sehingga semalam.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pada 9 November lalu, KM Malawali telah mengusir sembilan BNI, disusuli pengusiran 127 BNI pada jarak 23.6 sehingga 25.7 batu nautika barat laut Pulau Jarak di antara 16 hingga 20 November.
Menurut beliau, KM Rawa pula telah mengusir 37 BNI di kedudukan 28.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua bot yang diusir itu membawa lima hingga lapan kru termasuk tekong dengan membawa peralatan menangkap ikan di atasnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sebelum November, APMM Perak telah mengusir lebih 100 BNI yang menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran BNI bermula pada 18 Mac sehingga semalam ialah 363.
“Kesemua bot itu diusir selepas dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.
“Pada masa ini, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan Malaysia adalah untuk menyekat penyebaran wabak Covid-19 menerusi warga asing serta membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. -K! ONLINE