PUTRAJAYA- Dasar Perbandaran Negara Ke-2 akan menjadi pemacu perubahan kepada pertumbuhan ekonomi bandar-bandar di Malaysia menjelang tahun 2025.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri. Dr Ismail Abd. Muttalib berkata, itu adalah komitmen kementerian di mana penduduk bandar akan mampu memiliki rumah, menikmati sistem pengangkutan awam yang teratur, infrastruktur berkualiti dan kemudahan sosial lengkap.
Menurut beliau, sejajar dengan Dasar Perumahan Negara, kerajaan sememangnya memfokuskan matlamat untuk menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti dan mampan kepada setiap isi rumah di Malaysia.
“Melalui Program Rumah Mampu Milik dan Program Rumah Mesra Rakyat, kerajaan telah berjaya menyiapkan 105,750 unit rumah pelbagai kategori di seluruh negara.
” Sehubungan dengan itu, menjelang akhir tahun ini, kementerian melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyasarkan pembinaan 1,989 unit Rumah Mampu Milik di seluruh negara dengan harga jualan serendah RM35,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Habitat Peringkat Malaysia Tahun 2020 yang diadakan secara siaran langsung menerusi Facebook KPKT di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara inisiatif di bawah KPKT adalah Program Baik Pulih Rumah Daif di bandar bertujuan menyediakan tempat kediaman yang selamat dan selesa kepada golongan B40 bagi mewujudkan kehidupan yang berkualiti dan sejahtera.
“Selain itu, bantuan melibatkan pembaikan komponen asas rumah seperti bumbung, siling, tangga, dapur, tandas, bilik air, pintu, dinding, lantai simen atau kayu, tingkap, sistem paip, perparitan, pembentungan dan pendawaian elektrik.
“Program ini dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Di samping itu, katanya lagi, kementerian juga akan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti pengecualian Bayaran Sewa dan Bayaran Bulanan Program Perumahan Rakyat yang memberi manfaat kepada hampir 9,000 pemilik dan penyewa bagi meringankan beban rakyat dalam melawan penularan wabak Covid-19.
“Pengecualian ini telah diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu,” katanya.
Pada Majlis Perasmian Hari Habitat Peringkat Malaysia Tahun 2020 itu, program menarik seperti Anugerah National Scroll of Honour for Human Settlements turut diadakan.
Anugerah National Scroll of Honour for Human Settlements telah dimenangi oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya dengan Projek: Transformation Towards Sustainable and Resilience Community of MBSJ sementara Majlis Perbandaran Ampang Jaya menduduki tempat kedua dengan Projek: Kebun Kelab Komuniti Rumah Pangsa AU2, Keramat. -K!ONLINE