fbpx

Dahulu main badminton, sekarang menyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAHMI IRFAN

DI sebalik kelunakan vokal yang dimiliki, mungkin tiada sesiapa menduga bahawa pendatang baharu, Syahmi Irfan merupakan seorang pemain badminton profesional dan pernah bermain untuk skuad kebangsaan.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu bagaimanapun terpaksa memperlahankan rentak dalam sukan berkenaan memandangkan pernah berdepan dengan kecederaan serius.

“Sukan badminton sudah sebati dalam diri sejak kecil. Saya memang serius dengan badminton sehingga pernah bersekolah di sekolah sukan.

“Namun, kesan daripada kecederaan di bahagian pinggang memaksa saya berundur daripada skuad negara. Buat masa ini saya bermain untuk pasukan kelab sahaja,” ujarnya memulakan perbualan.

Bercakap tentang karier nyanyian yang baru memutik, tuah pemuda berusia 19 tahun ini agak baik kerana dilamar oleh syarikat pengurusan Indigital Music yang sedang mencari bakat baharu.

Sebagai salam perkenalan, Syahmi atau Muhammad Syahmi Irfan Mohd. Nadzri mempertaruhkan single sulung berjudul Mungkir hasil ciptaannya bersama Que Afiq.

“Mungkir mengisahkan tentang ego lelaki yang akhirnya dihambat kesedihan akibat cinta yang tak terluah.

PERNAH bermain badminton untuk skuad negara, Syahmi Irfan kini melebarkan kariernya sebagai penyanyi. – AMIR KHALID

“Saya harap peminat muzik tanah air menyambut baik percubaan perdana saya. Insya-Allah, syarikat pengurusan dan saya telah merancang untuk menghasilkan lebih banyak karya pada masa akan datang,” jelasnya.

Biarpun menapak perlahan mendaki tangga karier dalam dunia muzik, Syahmi tetap setia terhadap sukan badminton dan tidak bercadang untuk meletakkan noktah dalam bidang tersebut.

Penuntut Diploma Sains Sukan, UiTM Shah Alam itu juga berharap sukan badminton dan kerjaya nyanyian dapat bergerak seiring.

“Badminton ialah cinta pertama yang sukar dilupakan walaupun kini saya bergelar penyanyi.

“Buat masa ini saya mahu tumpukan perhatian mempromosikan single baharu. Jika pandemik Covid-19 reda nanti, saya akan kembali beraksi di gelanggang badminton.

“Apa pun saya bersyukur kerana impian ingin bergelar penyanyi tercapai.

“Keluarga juga antara pendokong kuat untuk saya maju setapak dalam dunia nyanyian,” ujarnya yang akan tampil dalam program Lagu Cinta Kita di TV3 pada 29 November.

Untuk rekod, video lirik rasmi Mungkir yang dimuat naik sebulan lalu telah meraih 100,000 tontonan, manakala video muzik yang dilancarkan pada 18 November lalu sudah mencatatkan hampir 4,000 tontonan.

SYAHMI kini bernaung bawah syarikat rakaman Indigital Music.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI