“BERI saya ruang dan masa untuk bertenang. Saya sudah cukup penat dengan semua ini. Netizen sekarang benar-benar kurang ajar.”
Itu luahan hati penyanyi legenda Aishah kepada HibGlam tatkala membuka bicara menerusi isu yang masih hangat berhubung persembahan lagu Aku Bidadari Syurga.
Menerusi perbualan ringkas tersebut, pelantun yang popular dengan lagu Janji Manismu itu mengakui memerlukan sedikit ruang dan masa untuk berehat selain menenangkan diri.
Ujarnya, kecaman dan hentaman hebat daripada segelintir netizen usai membawakan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza pada saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) minggu lalu masih berbekas di lubuk sanubarinya.
“Tipu kalau saya tidak terasa dengan apa yang berlaku. Selama hampir 35 tahun berkecimpung dalam industri, ini antara yang sukar dilupakan dan benar-benar tersimpan dalam hati.
“Kadang-kadang ada masanya terdetik dalam fikiran, buruk dan berdosa sungguhkah saya ini pada pandangan mata mereka,” luahnya.
Menurut Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 55, beliau tidak akan sesekali terasa hati seandainya komen dan hentaman yang dilemparkan berkenaan teknik vokal atau persembahan semata-mata.
Katanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah jika komen-komen tersebut menyentuh berkenaan ilmu nyanyian tetapi bukan soal peribadi.
“Komenlah perkara-perkara yang berkenaan secara berhemah bukannya sesuka hati memaki hamun, menghina sehingga menjatuhkan maruah seseorang.
“Menangis, sedih dan keliru semuanya bercampur-baur saat itu. Kadangkala terfikir sejenak adakah mereka yang sering memaki hamun dan melemparkan kata-kata kesat ini adakah mereka tidak diajar ibu bapa.
“Apa yang mereka hentam dan cerca seolah-olah seperti sudah bertahun lamanya mengenali saya hingga menyentuh soal peribadi yang mereka sendiri tidak tahu,” ujarnya.
Berbeza era
Ditanya sejauh mana terkesan jiwa saat menelan skeptikal sebegitu, Aishah menyambung bicara.
“Saya terkesan mungkin sebab perbezaan era. Saya dibesarkan dan diajar untuk menghormati sesiapa sahaja, mungkin itu penyebab saya jadi begini.
“Kalau dahulu, mahu bercakap pun kena jaga adab dan tatasusila. Apatah lagi nak menghina dan mengecam orang dengan kata-kata nista hingga hilang rasa hormat kepada mereka yang lebih berusia.
“Saya perasan kewujudan media sosial yang boleh diakses semua golongan melahirkan generasi sekarang. Mereka rasa boleh berkata apa sahaja,” tuturnya.
Bercerita lanjut, juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu menyatakan sudah tiba masanya pihak berwajib melakukan sesuatu atau memperketatkan akta tentang kebebasan bersuara seseorang terutama dalam kalangan netizen dalam media sosial.
Baginya, perkara tersebut perlu segera dilakukan bagi memastikan anak muda masa kini tidak terus hanyut, sekali gus menjahanamkan generasi akan datang.
“Kalau kita lihat, dalam televisyen dan media lain ada penapisan tertentu sebaliknya berbeza dengan media sosial. Jadi sudah tiba masanya untuk penguatkuasaan diperkasakan.
“Perlu diingat, dalam dunia sekarang, semua lapisan umur termasuk kanak-kanak menggunakan media sosial.
“Adakah ini yang kita mahu ajar kepada mereka, budaya maki hamun dan tidak beradab,” tegasnya.
Pengalaman berharga
Berkongsi cerita, Aishah mengakui peluang melakukan persembahan sekali gus menggantikan penyanyi nombor satu negara di pentas berprestij sebagai sesuatu yang mahal.
Biarpun merupakan satu pengalaman berharga, ironinya persembahan tersebut meninggalkan titik ngeri buat dirinya.
“Sehari sebelum melakukan persembahan, saya pastikan mendapat rehat secukupnya selain memastikan semuanya berjalan lancar seperti dirancang.
“Memang sedikit pelik dan terasa lain ketika berada di atas pentas. Fikiran seakan-akan melayang namun saya cuba kekal fokus dan berdoa kepada Allah dalam hati agar persembahan dapat disempurnakan,” katanya yang mengakui terasa hampir pitam saat melakukan persembahan.
Ditebak adakah beliau tetap akan membawakan lagu Aku bidadari Syurgamu sekiranya terpilih ke peringkat akhir, Aishah belum terfikir sehingga ke tahap tersebut.
Selain malas ambil pusing, beliau menyerahkan kata putus berhubung perkara tersebut ditetapkan pihak pengurusan.
“Semua ini, bukan bermaksud saya merajuk apatah lagi menarik diri.
“Tetapi apa-apa pun kita tunggu sahaja. Jika ada rezeki dapat melangkah ke peringkat akhir, biarlah pihak label yang membuat keputusan,” ujarnya seraya menutup bicara.