PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia mengakibatkan ramai rakyat Malaysia terjejas punca pendapatan dan situasi ini menagih bantuan berkesan daripada kerajaan.
Alhamdulillah, sejak Mac lalu, kerajaan tidak henti-henti mengumumkan inisiatif baharu dan menghulurkan pelbagai pertolongan bagi meringankan beban rakyat.
Pun begitu, banyak suara yang kurang berpuas hati dengan bantuan kerajaan kedengaran baru-baru ini, terutamanya selepas pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu.
Terutamanya melibatkan moratorium pembayaran pinjaman bank dan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), i-Sinar yang ingin dilakukan secara lebih bersasar dan bukannya untuk semua.
Penulis baru-baru ini berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berhubung kemudahan pengeluaran simpanan ahli.
KWSP antara agensi pertama yang mengumumkan bantuan untuk rakyat menghadapi cabaran Covid-19 menerusi i-Lestari pada Mac lalu.
Jelasnya, kemudahan tersebut dibuka untuk semua ahli kerana ketika itu, pandemik dijangka memberi impak yang amat signifikan kepada negara, dengan sekitar 2.4 juta daripada rakyat Malaysia diunjurkan akan kehilangan pekerjaan.
Begitu juga dengan moratorium automatik. Dikhabarkan bank-bank ketika itu tidak memiliki infrastruktur dan sistem yang cukup mantap untuk menguruskan permohonan moratorium dan dalam situasi ketika itu, lebih sesuai ia diberi secara automatik untuk semua.
Namun, situasi sekarang cukup berbeza dan sedang menuju ke arah pemulihan.
Kadar pengangguran pada suku ketiga 2020 menurun kepada 4.7 peratus, dengan jumlah penganggur dianggarkan kira-kira 745,000 orang.
Kenderaan utiliti sukan terbaharu Proton, X50 mampu mengumpul lebih 20,000 tempahan meskipun belum dilancarkan dan harga jualannya belum diketahui umum ketika itu.
Hal ini cukup untuk membuktikan bukan semua layak menerima bantuan.
Dalam keadaan negara berdepan tempoh sukar ketika ini, bantuan yang diberikan secara bersasar untuk membantu rakyat yang benar-benar terjejas tentu lebih sesuai berbanding diberikan kepada semua tanpa mengira kedudukan ekonomi.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, rakyat perlu sedar segala bantuan yang diberikan kerajaan tidak hadir percuma, ada implikasi di sebaliknya yang akan mempengaruhi kewangan negara dalam jangka pendek atau panjang.
Menurutnya, ramai yang gemar melihat kepada negara-negara yang memberi bantuan menarik seperti negara-negara Eropah, namun perlu diingat rakyat mereka membayar kadar cukai yang tinggi.
Katanya, kerajaan juga tidak mampu memperkenalkan cukai baharu ketika ini ketika perbelanjaan semakin bertambah untuk meneruskan pemberian bantuan kepada rakyat.
“Satu perkara yang perlu pertimbangan rakyat ketika ini ialah biarlah bantuan kembali kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Bagi mereka yang masih punya ruang untuk bernafas, cuba kawal perbelanjaan terlebih dahulu atau berusaha mengintai peluang saluran pendapatan baharu,” jelas beliau.-K! ONLINE