JOHOR BAHRU – Sebanyak 10 buah kenderaan telah ditahan dan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor dalam Operasi Khas E-Hailing di sekitar daerah Johor Bahru, semalam.
Timbalan Pengarahnya, Azmil Zainal Adnan berkata, operasi tersebut dibuat bagi mengesan kenderaan persendirian yang menggunakan aplikasi perkhidmatan dari syarikat e-hailing (EHO-MAXIM) tanpa mempunyai permit kenderaan e-hailing (eVP) dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat.
Katanya, operasi khas yang diselaraskan oleh Unit Siasatan dan Risikan, Bahagian Penguatkuasa JPJ negeri melibatkan seramai 36 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai unit.
“Dalam operasi bermula 8 pagi itu, sebanyak 10 buah kenderaan ditahan dan disita di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu yang mengendalikan dan menjalankan perkhidmatan awam tanpa permit yang sah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16(1) dan Seksyen 12A, akta yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azmil berkata, bagi kesalahan tersebut, pemandu boleh dikenakan tindakan dengan nilai kompaun sehingga RM500,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, tindakan penguatkuasaan ini akan dijalankan secara berterusan bagi membenteras kegiatan kenderaan persendirian yang beroperasi di negeri ini tanpa permit yang sah atau perkhidmatan e-hailing yang tidak berdaftar.-K! ONLINE.