LILLE – Kecemerlangan dalam saingan domestik memberikan tonik tambahan buat AC Milan untuk membalas dendam terhadap wakil Perancis, Lille menjelang aksi keempat Kumpulan H kempen Liga Europa di Stade Pierre Mauroy awal pagi esok.
Ia ekoran kekalahan 0-3 kepada Lille menerusi ledakan hatrik Yusuf Yazici sewaktu pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan di Stadium San Siro awal bulan lalu.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Milan, Stefano Pioli perlu mencari pengganti terbaik mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang prolifik pasukan itu, Zlatan Ibrahimovic kerana kecederaan otot paha.
Pendahulu senarai penjaring terbanyak Serie A itu dilaporkan perlu menjalani proses pemulihan sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu selepas mengalami kecederaan tersebut ketika meledak dua gol membantu Milan menewaskan Napoli pada Isnin lalu.
Justeru, Pioli, 55, berkemungkinan besar bakal mempertaruhkan kebolehan pemain sayap, Ante Rebic beraksi selaku penyerang No. 9 Milan dalam aksi penting awal pagi esok.
Dalam masa sama, Milan juga berharap penyerang muda Portugal, Rafael Leao sempat pulih daripada kecederaan dialaminya baru-baru ini selepas namanya disenaraikan juga dalam skuad menentang Lille.
Sebagai rekod, Milan kini menduduki tangga kedua Kumpulan H dan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Lille.
Namun, kekalahan kepada Lille mampu membuka semula peluang buat dua pasukan di tempat ketiga dan keempat iaitu jaguh Republik Czech, serta juara Scotland, Celtic. – AGENSI