PETALING JAYA – Sebanyak 30 kes pecah kedai yang berlaku di empat daerah iaitu Serdang, Brickfields, Petaling Jaya dan Kajang berjaya diselesaikan apabila polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan empat suspek yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya berjaya menahan empat suspek tersebut setelah mendapat laporan dari seorang pengurus kedai serbaneka di Bandar Puteri, Puchong yang mendapati kedai itu telah dipecah masuk dan kehilangan dua unit laci wang mesin dan wang tunai dengan kerugian berjumlah RM2,094.20.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pada 22 November lalu, Cawangan Siasatan Jenayah (D4) IPD Serdang diketuai Inspektor Shahril Azmam bersama unit Respon Team Balai Puchong telah ke sebuah rumah di Taman Bukit Serdang dan berjaya membuat tangkapan seorang lelaki berusia 41 tahun.
“Ekoran penangkapan suspek tersebut, tiga lagi tangkapan telah berjaya dilakukan membabitkan tiga orang lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun di Pangsapuri Timur Taman Bukit Serdang,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Razali, hasil semakan mendapati, lelaki tersebut mempunyai 28 rekod jenayah lampau dan empat rekod narkotik, seorang lagi suspek lelaki mempunyai empat rekod narkotik manakala seorang lagi mempunyai tiga rekod narkotik, kesemua suspek juga didapati positif dadah.
“Dalam serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya merampas alat pecah rumah termasuk empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit karberator motor, tiga helai sarung tangan, sehelai topeng muka, 53 botol minuman keras, dua bilah pedang dan sebilah pisau.
“Selain itu pihak polis turut merampas, dua unit dikoder CCTV, dua unit pemain DVD, sebuah televisyen serta dua buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah mereka. Nilai anggaran rampasan adalah sebanyak RM30,000,” katanya.
Jelasnya lagi, kumpulan tersebut didapati aktif sejak tiga bulan lalu di empat daerah terbabit dengan menggunakan motosikal ketika melakukan kegiatan jenayah.
“Kumpulan ini melakukan jenayah pecah kedai lebih kurang tiga ke enam kedai pada satu kawasan dan satu masa. Mereka menggunakan cara memotong kunci di pintu hadapan untuk masuk ke dalam kedai.
“Antara barang yang diambil ialah peti simpanan tunai, mesin wang dan barangan berharga,” katanya. – K! ONLINE