GEORGE TOWN – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, yang terlibat dalam insiden tembakan di pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar Selasa lalu baru dimasukkan ke Bilik Pembedahan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 1.30 petang tadi.
Pembedahan yang dijalankan mengikut jadual itu adalah bagi membuang tiga peluru iaitu satu pada paru-paru dan dua pada perut anggota terbabit.
Sumber berkata, keadaan Norihan kini stabil dan pembedahan masih dijalankan setakat pukul 3.15 petang tadi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar ketika dihubungi berkata, anggota terbabit baru menjalani pembedahan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak.
Terdahulu, Norihan tiba di HPP dengan ambulan pada pukul 9.20 malam semalam selepas selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Turut menemani Norihan di HPP adalah dua anggota keluarganya termasuk isteri.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi Selasa lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis.
Ketika kejadian, Baharuddin sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Sarjan Norihan Tari, 39, yang turut terkena tembakan dan mengalami kecederaan parah. – K! ONLINE