DORTMUND – Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Lucian Favre optimis pemain sayap sensasi, Jadon Sancho bakal kembali pada prestasi terbaik selepas tampil cemerlang membantu pasukan menewaskan Club Brugge 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Sancho mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri dengan menjaringkan satu gol menerusi sepakan percuma manakala dua lagi jaringan telah dilakukan oleh penyerang muda, Erling Haaland.
Sebagai rekod, Sancho telah membuktikan bahawa dirinya antara prospek pemain sayap terbaik di dunia dengan menjaringkan 20 gol serta 19 bantuan jaringan pada 44 perlawanan pada semua kejohanan pada musim lepas.
Namun, prestasinya pada musim ini sedikit hambar selepas dikatakan fokusnya terjejas dengan isu perpindahan ke beberapa kelab gergasi Liga Perdana England seperti Manchester United, Chelsea dan Manchester City pada jendela perpindahan lepas.
Kata Favre, prestasi yang dipamerkan oleh pemain berusia 20 tahun itu pada perlawanan kali ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan terutama apabila meledak gol cantik hasil sepakan percuma.
“Saya sangat gembira apabila Sancho kembali menemui sentuhan jaringan dan ia bukanlah sesuatu yang ajaib buat kami kerana pasukan sememangnya sudah tahu tentang kualiti yang ada padanya.
“Kini, misi utama yang diberikan kepadanya adalah untuk mengekalkan rentak konsisten dan saya percaya dia berpotensi mengulangi prestasi yang dipamerkan pada musim lepas tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu memberi tekanan kepadanya dan membiarkannya menenangkan diri terlebih dahulu,” katanya. – AGENSI