PETALING JAYA – Penyanyi yang juga Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid menyangkal sekeras-sekerasnya laporan mendakwa pejabat RPM diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan isu penyalahgunaan dana kutipan royalti hak cipta lagu.
Sheila atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid, 55, menegaskan, tiada istilah serbuan, sebaliknya RPM hanya dihubungi SPRM dan diminta memberikan kerjasama.
Sebagai pengerusi katanya, dia bersama ahli lembaga pengarah RPM yang lain juga sedia memberikan sepenuh kerjasama tanpa berselindung mengenai isu royalti yang sedang hangat diperkatakan.
“Serbuan apa semua itu tidak benar sama sekali. Kami hanya dihubungi menerusi panggilan telefon dan diminta untuk memberikan kerjasama.
“Kami sedia untuk itu. Segala dokumen terlibat seperti diminta juga sudah kami sediakan bagi membantu siasatan,” ujarnya kepada Kosmo Online!
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Sinaran itu, dalam perbualan bersama SPRM, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan satu pertemuan, namun belum ada sebarang ketetapan.
“Baru-baru ini SPRM ada menghubungi RPM dan menyatakan hasrat untuk bertemu dalam satu tempoh ketetapan yang akan dinyatakan nanti.
“Menerusi panggilan itu juga, SPRM memohon RPM menyediakan segala dokumen yang diperlukan bagi melengkapkan dan melancarkan siasatan dan penelitian,” katanya.
Terdahulu Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendesak Sheila meletakkan jawatan atas ketidakkeupayaannya menguruskan hal royalti artis sejak menerajui badan tersebut tujuh tahun lalu.
Sheila menyatakan, RPM turut tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai isu berkenaan hingga proses siasatan selesai
Semalam, SPRM mengesahkan telah menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis bagi memulakan siasatan itu berkenaan.
Antara pejabat yang diserbu termasuk RPM, Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP). – K! ONLINE