GEORGE TOWN – Dua beranak yang menjadi mangsa samun September lalu sebak apabila menerima seunit komputer riba yang dihadiahkan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri baru-baru ini.
Asani Khodaeh, 36, berkata, dia dan anak sulungnya, Nurul Syafiqah Zamri, 17, tidak menyangka akan menerima sumbangan berharga itu selepas sebahagian wang yang disimpan selama beberapa tahun lalu disamun.
Lebih menyedihkan apabila wang tersebut dikumpul hasil sumbangan orang ramai pada hari kematian suaminya, Zamri Md. Saad akibat komplikasi buah pinggang Julai tahun lalu.
“Hasrat saya dan arwah suami untuk membeli komputer riba kepada Nurul Syafiqah memang sudah lama.
“Namun, disebabkan keadaan kesihatan arwah ketika itu yang memerlukan perbelanjaan lebih termasuk menjalani rawatan dialisis, kami terpaksa menangguhkannya. Komputer riba ini untuk membantu anak belajar,” katanya.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Turus JSJ negeri, Superintendan Fauzi Mohd. Yusof.
Pada 27 September lalu, Asiah dan Nurul Syafiqah kerugian RM1,500 selain kehilangan dua buah telefon bimbit akibat disamun seorang lelaki bersenjatakan pemutar skru pada pukul 8.40 pagi di Butterworth.
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke sebuah pasar raya dengan menunggang motosikal. Polis kemudian menahan tiga lelaki kurang 48 jam selepas kejadian itu berlaku.
“Saya kini bergantung kepada wang sumbangan zakat dan upah tukang cuci serta memasak di kantin sekolah berasrama penuh untuk meneruskan kehidupan.
“Sungguh besar jasa polis terutamanya JSJ negeri atas sumbangan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua JSJ Negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, pemberian komputer riba itu adalah inisiatif pasukannya membantu meringankan bebanan mangsa.-K! ONLINE