PRAGUE – Polis masih memburu seekor rusa jantan selepas ia dikatakan melarikan selaras senapang milik pemburu, kata polis Republik Czech kelmarin.
Polis berkata, rusa itu melarikan senjata yang tidak berisi peluru selepas ia tersangkut pada tanduknya dalam satu kejadian yang tidak disengajakan.
Rusa itu melarikan senjata semasa diburu sekumpulan individu di kawasan hutan barat daya Republik Czech.
“Rusa itu terkejut dengan anjing pemburu. Ia terus berlari ke arah pemburu, melepasi (pemburu) dan mengoyakkan lengan kiri bajunya.
“Raifal yang tergantung pada bahu kiri pemburu terlepas ke atas tanduk rusa dan hilang bersama haiwan itu,” kata polis wilayah itu di laman web mereka.
Selepas seketika, ada pemburu lain melihat seekor rusa dengan selaras senapang tergantung pada tanduknya kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Kumpulan pemburu cuba mencari rusa itu tetapi gagal menemui raifal tersebut. – AFP