PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan beliau mentertawakan pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, Poay Tiong telah melakukan provokasi dan tuduhan yang tidak berasas berhubung perkara itu keatas beliau di Dewan Rakyat.
“Saya bukan ketawa ketika Poay Tiong mengajukan soalan tentang telur. Ketika itu saya sedang duduk dan senyum bagi mengiyakan perbualan dengan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Saya tidak takut dan sentiasa bersedia menjawab isu telur diketengahkan. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mengambil berat dan memantau apa sahaja isu kepenggunaan dan barangan yang dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu pada sidang Dewan Rakyat hari ini, berlaku pertengkaran mulut antara Alexander dan Poay Tiong apabila Poay Tiong meminta Alexander jangan mentertawakan pertanyaannya mengenai isu kenaikan harga telur.
Alexander yang ketika itu sedang duduk tidak berpuas hati dengan permintaan tersebut mendakwa Poay Tiong sengaja bermain politik dalam Dewan Rakyat kerana beliau bukan mentertawakan soalan tersebut. – K! ONLINE