CANBERRA – Ramai pengguna media sosial di Australia menyangka penyanyi Madonna telah meninggal dunia gara-gara ‘keliru’ dengan berita mengenai legenda bola sepak, Diego Maradona.
Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat serangan jantung di kediamannya dekat Buenos Aires di Argentina semalam, lapor akhbar Daily Mail.
Rata-rata peminat Maradona menggunakan Twitter untuk meluah rasa sedih kehilangan ikon bola sepak itu. Pada masa sama, ramai menyangka Madonna sudah mati.
Kekeliruan itu menyebabkan nama Madonna pula trending di Twitter sejak pagi tadi.
Maradona dianggap antara pemain bola sepak terbaik dunia dan membantu Argentina untuk merangkul Piala Dunia pada 1986.
Jurucakapnya, Sebastian Sanchi mengesahkan kematian Maradona selepas dua minggu legenda itu keluar hospital susulan satu pembedahan otak.
Kerajaan Argentina mengumumkan tiga hari berkabung untuk Maradona. – Agensi