fbpx

Majikan berdepan saman gagal sediakan kemudahan asrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Sebuah syarikat pengeluaran lateks bakal berdepan tindakan saman sehingga mencecah jutaan ringgit kerana didapati gagal menyediakan kemudahan asrama pekerja seperti yang termaktub dalam Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

Antara kesalahan yang dikesan ialah menempatkan katil di ruang tamu dan ruang makan, bilangan bilik air yang tidak mencukupi, tiada tempat menjemur pakaian dan jumlah penghuni asrama melebihi daripada yang ditetapkan.

Bagi setiap kesalahan, majikan berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk setiap pekerja asing.

Ia hasil pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang turut disertai pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Perak di sebuah taman perumahan di Kawasan Perindustrian Tasek di sini yang dijadikan asrama pekerja.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd. Asri Abd Wahab berkata, pihak majikan juga didapati gagal mendapatkan Surat Perakuan Penginapan JTKSM bagi membolehkan 13 buah rumah teres dua tingkat itu dijadikan asrama.

Menurut beliau, majikan didapati menempatkan kira-kira 15 orang pekerja dalam sebuah rumah berbanding kapasiti yang sepatutnya iaitu 10 orang berdasarkan keluasan kediaman tersebut selain keadaannya yang tidak kondusif.

“Pekerja asing merupakan golongan yang berisiko untuk dijangkiti wabak (Covid-19). Ini kerana mereka menginap secara beramai-ramai atau bersesak-sesak dalam satu unit kediaman selain tahap kebersihan premis yang amat kotor.

“Penguatkuasaan ini meliputi standard ruang minimum dua kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut kata Mohd. Asri, berdasarkan pemeriksaan tersebut pihaknya tidak berpuas hati dengan keadaan asrama yang disediakan selain kegagalan pihak majikan menempatkan pegawai penyelia yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal selia hal-hal berkaitan.

Susulan pemeriksaan itu katanya, pihaknya akan merekodkan keterangan penghuni asrama dan majikan bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan yang dijangka mengambil masa selama dua minggu.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak turut mencadangkan kepada majikan agar melakukan proses sanitasi di asrama berkenaan sebagai langkah pencegahan Covid-19 berikutan jumlah penghuninya yang ramai.

Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKN, Ahmad Fakurazi Abu Bakar berkata, pihak majikan juga disaran melakukan pemeriksaan suhu pada pekerja setiap kali mereka pulang ke asrama bagi memastikan tiada penghuni yang bergejala.

“Ini kerana mereka berada di tempat kerja pada tempoh yang panjang selain pergaulan, jadi pemeriksaan suhu adalah sebagai langkah pencegahan kerana jumlah mereka ramai,” ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI