fbpx

K2

Laksa goreng resipi dari Beijing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIZAH menunjukkan hidangan laksa goreng dan nasi goreng cendawan di gerainya di kafeteria Jotic, Johor Bahru baru-baru ini.

LAKSA, salah satu menu makanan berkuah yang terkenal di Asia Tenggara termasuk Malaysia, selatan Thailand, Singapura dan Indonesia. Cara hidangan laksa berbeza-beza mengikut olahan masyarakat setempat.

Di negara ini sahaja terdapat beberapa jenis laksa yang menjadi kegilaan bagi sesetengah orang seperti laksa Penang, laksa Sarawak, laksa Johor, laksa Kedah, laksa kuah lemak (Kelantan dan Terengganu).

Setiap laksa mempunyai resipi dan cara hidangan tersendiri yang pastinya berkuah dihasilkan daripada isi ikan.

Namun, lain pula cerita di selatan tanah air, Johor Darul Takzim yang mana seorang peniaga di kafeteria Pusat Maklumat Pelancongan Johor (Jotic), Johor Bahru menyajikan laksa goreng.

Bunyinya pelik, tetapi apabila sudah kena sepinggan laksa goreng pasti akan jatuh hati dengan air tangan peniaga, Norizah Ismail, 54, malah seperti ada ‘pelaris’, kepala asyik teringat mahu menikmati hidangan tersebut.

“Pelarisnya pastikan masakan kita cukup bahan-bahannya, jangan kedekut, barulah sedap masakan kita,” kata Norizah ketika ditemui baru-baru ini.

Norizah yang berasal dari Kampung Sungai Danga, Johor Bahru berkata, idea sajian laksa goreng tercetus ketika dia membawa rombongan melancong ke Beijing, China 10 tahun lalu.

 

HIDANGAN laksa goreng yang pastinya memikat selera sesiapa sahaja. – RAJA JAAFAR ALI

 

“Selain berniaga, masa itu saya juga pemandu pelancong, bawa sekumpulan rombongan melawat Beijing. Semasa di sana, saya masuk dapur sebuah restoran tengok tukang masak menyediakan makanan.

“Saya pelik apabila melihat tukang masak menggoreng laksa. Kalau di negara kita, laksa mesti berkuah. Saya pun tanyalah macam mana nak memasak menu tersebut,” katanya.
Norizah berkata, setelah pulang dari China, dia memulakan eksperimen menghasilkan laksa goreng dengan olahan sendiri dan ia menjadi.

Malah, laksa goreng yang diusahakannya itu menjadi pilihan pelbagai lapisan pelanggan yang singgah di Jotic termasuk orang kenamaan, profesional serta artis popular.

Tidak lokek berkongsi rahsia resipi itu, Norizah berkata, bahan-bahan untuk laksa goreng sama seperti mi goreng, cuma bahan utama adalah laksa.

“Dekat kedai banyak jenis laksa, kita pilih laksa yang lebih kenyal dan tidak mudah lembik, cara masaknya sama sahaja kita nak masak mi goreng.

“Kami guna hirisan bunga kantan untuk menaikkan lagi aromanya. Hirisan pula jangan kasar, baru sedap,” katanya.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, laksa goreng yang disajikan di gerainya mempunyai pelbagai pilihan lauk seperti petil, daging, ayam, sotong serta udang.

Laksa goreng petil adalah istilah laksa goreng yang dimasak dengan semua jenis lauk.

 

MUHAMMAD RIDZWAN kini mengambil alih kerja-kerja di dapur daripada ibunya untuk menyediakan hidangan laksa goreng kepada pelanggan.

 

Norizah berkata, selain laksa goreng, masakan nasi goreng cendawan udang antara menu menjadi pilihan pelanggan.

“Selain laksa goreng, kita juga menyediakan masakan panas seperti nasi goreng, mi goreng, kuih-muih, kacang pool dan nasi lemak,” jelasnya.

Dari segi harga yang ditawarkan adalah berpatutan bermula dengan RM2 hingga RM9 bergantung kepada pilihan.

Bercerita lanjut, katanya, sejak usianya enam tahun, dia sudah mula mengenali dunia perniagaan.

Katanya, dia sering membantu ibu berniaga makanan di sekitar Johor Bahru termasuk Pantai Lido dan Danga Bay.

Katanya, selepas kedua-dua orang tuanya meninggal dunia, dia meneruskan legasi keluarganya itu.

“Sekarang saya sudah tidak larat mana. Jadi, anak saya, Muhammad Ridzwan Kamarulzaman, 28, mengambil alih kerja-kerja di dapur sebagai tukang masak. Saya turunkan ilmu kepadanya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI