fbpx

Jangan beri muka kepada penyeludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ATIKAH DALI
PENGARANG BERITA

KELMARIN seorang anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia akibat ditembak penyeludup ketum di Padang Besar, Perlis.

Turut terkena tembakan dalam pertempuran membabitkan 13 penyeludup itu adalah rakan setugas mangsa, Koperal Narihan Tari, 39, yang cedera di perut dan masih dirawat di hospital.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang akhbar pada hari sama kejadian mendedahkan, kejadian tembakan yang berlaku kelmarin adalah yang ketiga dalam tempoh dua minggu di lokasi sama.

Lokasi itu yang terletak 600 meter dari tembok sempadan dan merupakan salah satu laluan aktif bagi aktiviti penyeludupan.

Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 12 November lalu seterusnya tiga hari kemudian dipercayai dilakukan oleh kumpulan penyeludup.

Kejadian sama turut berlaku di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Jumaat lalu.

Di Kelantan pula, penyeludup melepaskan tembakan secara terang-terangan dan nyaris terkena anggota yang berkawal di tebing Sungai Golok pada Ogos lalu.

Kejadian serangan di sempadan bukan kali pertama berlaku di negara ini dan umum tahu anggota penguat kuasa termasuk pasukan Sang Saka Biru sememangnya terdedah kepada bahaya termasuk ditembak.

Kegiatan jenayah seperti pemerdagangan orang, penyeludupan dadah dan ketum, pendatang asing tanpa izin dan menyeludup barangan bercukai serta bersubsidi dilakukan melalui sempadan.

Penyeludup ini sentiasa ligat mencari jalan supaya kegiatan jenayah dapat dibolosi sama ada melalui darat, air atau udara.

Laluan darat di kawasan hutan tebal dan air terutama di perairan Sabah paling sukar dikawal kerana ia melibatkan bukan puluhan tetapi ratusan laluan haram atau dikenali lorong tikus.

Aktiviti penyeludupan boleh mengancam keselamatan selain ketirisan hasil negara. Bagi penyeludupan dadah ia boleh merosakkan anak bangsa.

Lebih menyedihkan, Malaysia bukan sahaja diancam penjenayah dari luar, malah ada rakyat tempatan yang tamak sanggup bersekongkol menjadi tali barut.

Pengkhianat dan penyeludup ini perlu dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Langkah segera perlu diambil bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara termasuk mempercepatkan pembinaan tembok sempadan sepanjang 662 kilometer membabitkan empat negeri.

Penggunaan baju kalis peluru perlu diwajibkan kepada anggota keselamatan yang bertarung nyawa melakukan tugasan di sempadan selain pemasangan televisyen litar tertutup yang sudah dilaksanakan ketika ini.

Aspek keselamatan tidak boleh dikompromi kerana ia membabitkan nyawa manusia lebih-lebih lagi mereka yang bersengkang mata mengawal negara di saat kita sedang nyenyak dibuai mimpi.

Cukup-cukuplah kita kehilangan seorang anggota keselamatan kelmarin, kedaulatan Malaysia perlu dipertahankan. Takziah kepada keluarga Baharuddin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI