fbpx

Hadiah 200 iPad untuk permit senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

SAN FRANCISCO – Pengarah keselamatan global Apple berdepan pertuduhan menawarkan rasuah beratus-ratus peranti iPad kepada pegawai penguat kuasa California sebagai balasan memperoleh permit senjata api untuk kakitangan syarikat.

Ketua Pegawai Keselamatan, Thomas Moyer berjanji memberi 200 unit iPad bernilai hampir AS$70,000 (RM286,090) kepada Pejabat Syerif Daerah Santa Clara sebagai pertukaran untuk permit membawa senjata api (CCW), menurut kertas pertuduhan oleh pejabat pendakwa raya daerah pada Isnin lalu

Proposal perjanjian itu dibatalkan pada saat-saat terakhir.

Seorang timbalan syerif dan kapten iaitu Rick Sung dan James Jensen turut didakwa kerana cuba memperoleh pemberian itu, menurut kenyataan sama.

Satu siasatan yang berlangsung selama dua tahun mendedahkan bahawa permit akan ditahan sehingga produk iPad diperoleh.

“Timbalan Syerif Sung dan Kap­ten Jensen menggunakan lesen CCW sebagai komoditi dan menemui pembeli berpotensi.

“Pemberi rasuah sepatutnya dilaporkan ke Pejabat Pendakwa Raya bukan dibalas dengan cara mengikutnya,” kata Pendakwa Raya Jeff Rosen dalam kenyataan itu.

Rasuah iPad AS$70,000 itu adalah untuk mendapatkan empat permit CCW, menurut ke­nyataan pihak pendakwa raya.

Bagaimanapun, kumpulan itu membatalkan perjanjian apabila Sung dan Moyer mendapat tahu Pejabat Pendakwa Raya mengeluarkan waran pemeriksaan ke atas Pejabat Syerif dan merampas semua rekod lesen CCW.

“Tom Moyer tidak bersalah terhadap pertuduhan difailkan ke atasnya. Dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dan bertindak dengan integriti tertinggi sepanjang kariernya.

“Kami percaya dia akan dibebaskan ketika dihadapkan (ke mahkamah),” kata peguam Ed Swanson yang mewakili kliennya dalam satu kenyataan bertulis.

Peguam itu tidak menafikan pemberian hadiah iPad tetapi memilih untuk menjelaskan keadaan ia bukan rasuah.

“Apple ada menawarkan sumbangan iPad dan Apple juga ada memohon permit CCW tetapi kedua-dua perkara itu tidak berkait,” kata Swanson.

Mereka dijadualkan ke sebuah mahkamah di San Jose pada 11 Januari ini untuk sebutan kes, menurut pejabat pendakwa raya. Jika disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum penjara. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI