LONDON – Legenda tinju heavyweight, George Foreman mengakui terkejut dengan tindakan Mike Tyson dan menganggap ia merupakan idea tidak masuk akal untuk dia kembali ke gelanggang pada usia 54 tahun.
Foreman yang dikenali sebagai Raja KO dan merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik yakin Tyson sedar tindakan itu bakal mengundang bahaya kepada kesihatan dirinya bertarung pada usia tersebut.
Pertarungan epik Tyson dengan Roy Jones Jr. pada awal pagi Ahad ini bakal menarik jutaan penonton di seluruh dunia untuk menyaksikan semula pertembungan dua legenda tinju tersebut.
Pertarungan tersebut antara yang ditunggu-tunggu apabila kembalinya dua bekas petinju heavyweight ke dalam gelanggang khususnya Tyson yang keluar daripada persaraannya selepas 15 tahun berehat.
“Saya yakin Tyson sedar akan tindakannya itu bakal mengundang bahaya pada kesihatan dirinya.
“Tetapi, apa yang berlaku kepada Tyson untuk kembali beraksi dalam gelanggang merupakan dilema yang dialami oleh semua petinju selepas mengumumkan persaraan. Ia merupakan keputusan yang sukar bila anda kembali ke gelanggang keramat itu.
“Keterujaan kembali mengenakan sarung tangan adalah perkara yang menggembirakan tetapi kesihatan yang paling utama dan perlu dijaga ketika usia sebegitu,” kata Foreman. – AGENSI