fbpx

Enam konstabel polis ditahan sedang karaoke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Enam orang anggota polis berpangkat konstabel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu ditahan sewaktu mereka sedang berkaraoke di sebuah premis yang menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen di Bunut Payong di sini Khamis minggu lalu.

Serbuan itu dijalankan pada pukul 11.30 malam ketika keenam-enam anggota itu yang merupakan pelanggan premis tersebut berada di dalam premis berkenaan.

Menurut sumber, sewaktu serbuan dijalankan, dua anggota polis berada di ruang tamu premis itu manakala empat lagi sedang berkaraoke di dalam sebuah bilik.

Katanya, selain enam anggota yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 27 tahun, polis turut menahan pemilik premis berusia 25 tahun.

“Empat orang yang ditahan merupakan anggota cawangan pengiring, seorang dari cawangan trafik dan seorang lagi cawangan pengangkutan IPD Kota Bharu.

“Hasil pemeriksaan dapati premis tersebut menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen. Peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu juga dirampas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Katanya, kegiatan pusat hiburan atau karaoke merupakan salah satu kesalahan di Kelantan kerana kerajaan negeri tidak membenarkan pembukaan pusat itu.

Ujarnya, penglibatan anggota polis sebagai pengunjung pusat karaoke dilihat boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu agensi yang bertindak menguatkuasakan undang-undang tempat hiburan.

“Mereka sepatutnya memberi nasihat dan tidak terlibat dalam menghidupkan aktiviti karaoke di daerah Kota Bharu.

“Kes diklafikasikan dibawah Seksyen 6 (1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan penahanan enam anggota polis yang mengunjungi pusat karaoke itu.

Katanya, siasatan kes turut akan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kelantan (JIPS).-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI