MADRID – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane pening kepala menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Inter Milan di San Siro awal pagi esok selepas Karim Benzema dan Sergio Ramos dilaporkan masih cedera.
Benzema tidak berada dalam kesebelasan utama Los Blancos selepas mengalami kecederaan ketika pasukan itu tewas kepada Valencia 8 November lalu.
Meskipun dijangka sempat cergas sebelum aksi menentang Inter, namun pemain Perancis itu tidak berada dalam skuad 21 pemain yang berangkat ke Milan.
Sementara itu, Ramos yang juga kapten pasukan mungkin diketepikan selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika membantu Sepanyol menewaskan Jerman 6-0.
Bagaimanapun, Zidane tetap mendapat suntikan semangat menjelang perlawanan penting itu selepas pemain Brazil, Casemiro dilaporkan sudah bebas daripada Covid-19.
Kepulangan Casemiro ke dalam skuad dilihat memberi kelebihan kepada pasukan itu memandangkan dia memiliki kemampuan untuk mengemudi bahagian tengah.
Meskipun ia bukanlah perlawanan wajib menang buat Real, namun mereka bakal berdepan kesukaran mara ke pusingan kedua sekiranya tewas kepada Inter. – AGENSI