SEGAMAT – Orang ramai diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan peningkatan kehadiran binatang berbisa ketika musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kapten (PA) Nor Hisyam Abdullah berkata, haiwan berbisa seperti lipan, kala jengking, lebah dan ular sering keluar dari tempat perlindungan mereka terutama ketika air mula melimpah.
“Ketika banjir, haiwan tersebut mudah dihanyutkan arus deras di persekitaran rumah yang hampir dengan belukar atau semak-samun. Kalau tak buat persiapan awal membersihkan semak samun sekitar kediaman akan memudahkan kehadiran haiwan berbisa itu.
“Bila hujan, tempat sembunyi mereka sinaiki air, mereka akan mencari perlindungan baru seperti menyelinap masuk ke kawasan atau dalam rumah,”katanya di pejabat APM Segamat di Jalan Omar di sini tadi.
Jelas Nor Hisyam, sengatan atau gigitan haiwan berbisa boleh membawa maut kepada mereka yang mempunyai sistem ketahanan diri yang rendah. -K! ONLINE