DUNGUN – Seorang wanita sarat mengandung anak sulung menggagahkan diri mengharung banjir untuk menyelamatkan diri selepas rumahnya dinaiki banjir di Kampung Tok Kah di sini semalam.
Nurul Asyikin Mamat, 24, yang sedang hamil 38 minggu meredah banjir sedalam lebih 1.5 meter dengan ditemani ibu mertuanya,
Sabariah Awang, 47, sejauh kira-kira 500 meter.
Dia seterusnya membonceng motosikal ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tok Kah di sini yang terletak hampir dua kilometer dari rumahnya.
“Saya bersendirian di rumah kerana suami sedang bekerja sewaktu rumah dimasuki air banjir hingga ke paras pinggang.
“Saya agak panik, nasib baik ibu mertua (Sabariah) yang tinggal berhampiran datang menjenguk dan menemani saya keluar berpindah,” katanya ketika ditemui di PPS SK Tok Kah di sini hari ini.
Nurul Asyikin berkata, dia memberanikan diri untuk mengharung banjir demi keselamatan diri dan bayi yang sedang dikandungnya walaupun bimbang kehadiran haiwan berbisa.
Dia memberitahu agak keletihan ketika berjalan meredah banjir walaupun dipimpin ibu mertuanya hingga terpaksa berhenti berehat sebanyak tiga kali. – K! ONLINE