LONDON – Pertarungan epik Mike Tyson dengan Roy Jones Jr. pada awal pagi Ahad ini bakal menarik jutaan penonton di seluruh dunia untuk menyaksikan semula pertembungan dua legenda tinju tersebut.
Pertarungan tersebut antara yang ditunggu-tunggu apabila kembalinya dua bekas petinju heavyweight ke dalam gelanggang khususnya Tyson yang keluar daripada persaraannya selepas 15 tahun berehat.
Meskipun perlawanan tersebut hanya acara pertunjukan, namun ia akan menghasilkan pendapatan yang besar bagi kedua-dua petinju. Lebih menarik mereka dijangka meraih jumlah wang yang lebih banyak berbanding yang diterima Khabib Nurmagomedov di UFC 254.
Menurut laporan Sportscasting, Tyson dan Jones akan menerima bayaran AS$10 juta (RM40.9 juta) dalam pertarungan lapan pusingan yang mengambil masa 16 minit.
Bagaimanapun, Tyson mengakui dia tidak tahu mengenai jumlah bayaran yang akan diterimanya dan menegaskan dia tidak memerlukan duit tersebut.
“Saya tidak tahu soal duit tersebut dan saya tidak tahu jika saya akan mendapatkannya. Apa yang saya boleh katakan, saya tidak perlukan duit itu.
“Saya kembali semula ke gelanggang ini kerana minat dan ambilah duit itu kerana duit bukanlah kehidupan saya ketika ini.
“Saya mahu melakukan perkara yang baik dan mati dalam keadaan tenang,” katanya secara langsung di YouTube Jimmy Kimmel baru-baru ini. – AGENSI