fbpx

Tempah gas lebih mudah melalui aplikasi BeliGas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUTHAN membangunkan aplikasi BeliGas bagi memudahkan pengguna terutamanya suri rumah mendapatkan gas memasak.

UMUM mengetahui bahawa gas memasak merupakan satu keperluan penting bagi setiap isi rumah.

Segala aktiviti memasak akan tergendala sekiranya gas memasak habis digunakan.

Bagi seorang pengguna, Nor Syairah Sulaiman, 30, dia juga tidak terlepas berhadapan dengan situasi sedemikian ketika memasak.

“Suami saya sering menjadi ‘mangsa’ untuk pergi menukar tong gas di kedai.

“Jika suami tiada di rumah, saya akan menghubungi kedai terdekat untuk menghantar gas. Kadangkala gas tidak dapat dihantar dengan segera kerana kedai itu kekurangan pekerja,” jelasnya.

Tetapi masalah itu kini dapat diatasi apabila dia sendiri memilih untuk menggunakan aplikasi BeliGas bagi memudahkan dia mendapatkan gas memasak.

Nor Syairah menjelaskan, dengan hanya menggunakan telefon pintar dia boleh memesan gas memasak dengan menggunakan beberapa sentuhan jari sahaja dan bahan itu terus dihantar ke rumah.

Dalam pada itu, pembangun aplikasi BeliGas, Suthan Mookiah, 34, berkata, mengetahui akan kesukaran sesetengah pengguna untuk mendapatkan gas memasak telah mendorongnya untuk membangunkan aplikasi itu.

Menurutnya, seiring transformasi pendigitalan aplikasi yang dibangunkan itu, ia memudahkan urusan pengguna di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

“Aplikasi ini baru dibangunkan pada bulan Jun lalu. Selain memudahkan urusan orang ramai untuk mendapatkan gas memasak, antara tujuan lain saya membangunkan aplikasi ini adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan B40.

“Kita mengetahui bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan ia turut melibatkan rakan-rakan saya sendiri. Daripada situ, datang idea untuk membangunkan perniagaan dan aplikasi ini,” jelasnya.

Tambahnya, pada masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan ketika ini, mereka masih berpeluang untuk terus bekerja kerana penghantaran gas merupakan perkhidmatan barangan keperluan.

Aplikasi BeliGas yang dibangunkan itu mesra pengguna dan buat masa ini, ia boleh dimuat turun melalui platform GooglePlay.

Melalui aplikasi itu, dengan empat langkah mudah pengguna boleh melakukan tempahan gas di situ.

Langkah pertama, pengguna perlu memilih kapasiti gas yang dikehendaki dan kemudian mengisi maklumat diri dan juga alamat penghantaran.

Kemudian mereka perlu memilih tarikh untuk pembayaran dan mengesah tempahan. Bayaran boleh dilakukan secara terus apabila gas dihantar.

Selain tempahan melalui aplikasi, ia juga boleh dibuat melalui laman web beligas.my.

 

BUAT masa ini, perkhidmatan melalui aplikasi BeliGas hanya di kawasan Lembah Klang dan akan dikembangkan ke Pulau Pinang dan Johor pada masa depan.

 

“Kami akan menambah beberapa fungsi pada aplikasi ini. Antaranya bayaran secara online, khidmat pemeriksaan dan pembaikan dapur gas,” jelas Suthan.

Dalam pada itu, Suthan menjelaskan, walaupun baru beroperasi selama empat bulan, pihaknya turut memiliki 10 cawangan berfungsi sebagai gudang penyimpanan gas untuk menawarkan perkhidmatan tersebut di 123 kawasan di sekitar Lembah Klang.

“Antara kawasan terlibat termasuk Rawang, Shah Alam, Seri Kembangan, Ampang, Semenyih dan lain-lain lagi.

“Buat masa ini, perkhidmatan ini dilaksanakan di sekitar Lembah Klang. Kami dalam proses untuk menyediakan perkhidmatan ini untuk pengguna di Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Tambahnya, menjelang penghujung tahun 2021, pihaknya menyasarkan untuk memiliki 100 cawangan untuk membekalkan gas buat pengguna di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Suthan menegaskan, sokongan daripada rakan penghantaran amat penting untuk model perniagaan yang dia bangunkan itu untuk terus berkembang maju.

Tegasnya, dia berhasrat untuk menambah jumlah rakan penghantaran pada masa akan datang.

“Mereka yang kehilangan kerja misalnya boleh menjadi rakan penghantar. Ini sekali gus membantu mereka menjana pendapatan.

“Jika mereka tiada pengalaman, kami boleh membekalkan gas bagi membolehkan terlibat sama dalam model perniagaan ini.

“Ini kerana, kami mendapat bekalan gas memasak secara terus daripada pembekal dan kemudian boleh disalurkan kepada rakan penghantar yang juga akan menjadi pengedar kami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI