KUALA LANGAT – Sindiket perjudian atas talian (online) yang sebelum ini kerap menggunakan kawasan perumahan beralih menjadikan pusat peranginan sebagai markas operasi mereka yang baharu.
Taktik tersebut terbongkar menerusi serbuan Ops Dadu kira-kira pukul 3.20 petang semalam di Banting, dekat sini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.
Dalam serbuan itu berjaya menahan 88 ahli sindiket dengan 73 daripadanya warga China berusia 23 hingga 46 tahun.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, siasatan awal mendapati pusat peranginan itu telah lama dan terletak jauh dari kawasan bandar serta tiada tarikan pelancong telah dijadikan pusat judi online sejak dua bulan lalu.
Katanya, sindiket yang menyewa beberapa unit di pusat peranginan itu turut menjalankan aktiviti pertaruhan pelaburan saham dan kegiatan jual beli secara online disyaki scammer.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini menyasarkan pelanggan atau mangsa dari negara China
“Mereka menggunakan laman sesawang tertentu untuk menjalankan aktiviti perjudian atas talian ‘calling centre’ dengan menggunakan suatu pertaruhan yang dikenali sebagai Loteri 360,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, semua transaksi kewangan adalah melalui perbankan online bank di China untuk proses menerima dan membayar hasil perjudian atas talian dengan menggunakan matawang China (ReMinBi).
Tambah Azmi, lokasi markas judi itu turut mempunyai ciri- ciri keselamatan termasuk pengawal keselamatan dan pemantauan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) untuk sebarang pergerakan ke blok penginapan sindiket.
“Kita merampas peralatan digunakan sindiket termasuk 112 set komputer, 29 unit komputer riba, 1207 unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima unit modem dan wang tunai berjumlah RM2,200.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya. -K! ONLINE