KUALA LUMPUR – Pendakwah muda, Da’i Syed akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna Twitter yang memfitnahnya merogol seorang gadis.
Menurut Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, dia dan peguamnya telah berbincang untuk membuat tuntutan saman fitnah terhadap pihak yang bertanggungjawab atas penyebaran berita palsu berkenaan.
“Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya untuk mempertimbangkan beberapa tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab.
“Ini termasuklah tuntutan saman fitnah bagi mendapatkan ganti rugi berbentuk wang ringgit terhadap kerosakan ke atas imej dan reputasi saya sebagai figura awam.
“Perbincangan telah memasuki fasa akhir dan peguam saya telah memulakan tugas-tugas menyiapkan draf kertas kausa dan pengumpulan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Syed, 25 turut menuntut pengguna Twitter yang membuat tuduhan berunsur fitnah tersebut untuk segera memadam semua kenyataan yang telah dibuat selain permohonan maaf secara bertulis kepadanya.
“Saya menuntut supaya pengguna-pengguna akaun Twitter yang berkenaan untuk memadam segala kenyataan bersifat fitnah yang telah dibuat, ditokok tambah, disebar dan ditujukan kepada saya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan kadar segera.
“Permohonan maaf secara bertulis kepada saya juga perlu dilakukan bagi membetulkan keadaan. Permohonan maaf ini kemudiannya perlu disebarkan dengan cara sama fitnah ke atas saya disebarkan.
“Sebarang kedegilan oleh mana-mana pengguna akaun Twitter yang berkenaan untuk melakukan seperti yang dituntut, akan saya terima sebagai pelawaan bagi memulakan tindakan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka,” ujarnya.
Semalam, tular dalam laman sosial Twitter apabila seorang pengguna akaun @ainunnnajwa mendakwa rakan baiknya mengalami trauma selepas menjadi mangsa rogol pendakwah muda itu.
Kesal dengan tuduhan terbabit, Syed telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor bagi membersihkan nama baiknya selain melindungi diri daripada dakwaan tidak berasas sebegitu. – K! ONLINE