LABUAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan mematahkan cubaan seorang lelaki menyeludup 350 karton minuman keras dalam serbuan di pekan Menumbok semalam.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, semua minuman keras berkenaan disembunyikan dalam sebuah lori yang penuh muatan gandum namun helah terbabit berjaya dihidu pihak berkuasa.
Pemangku Pegawai Pemerintah PPM, Inspektor Shafiq Rezza Rahim berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama lori yang dipandunya selepas dikesan membawa minuman keras tidak bercukai masuk ke tanah besar Sabah.
“Kita menerima maklumat berkaitan kegiatan haram ini menerusi Op Terancang yang dilaksanakan bagi mengekang kegiatan penyeludupan.
“Hasil maklumat diterima, terdapat sebuah lori 10 tan dipercayai bergerak dari Labuan ke Menumbok dengan menaiki feri kenderaan.
“Bertindak atas maklumat terbabit, pemeriksaan polis menemui sebanyak 350 karton minuman keras disembunyikan bersama muatan tepung gandum dalam kargo lori berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut juga menunjukkan semua minuman keras berkenaan tidak bercukai dan diseludup dipercayai bagi pasaran tempatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Shafiq berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk cukai.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE