BERLIN – Polis Jerman menahan seorang lelaki yang didakwa merempuh pagar pejabat Canselor Jerman di Berlin hari ini.
Jurucakap polis berkata, tindakan lelaki tersebut dipercayai tanda protes terhadap pemanasan global.
“Kereta tersebut terhenti di pagar berkenaan. Kami sedang menyiasat sama ada suspek berniat untuk merempuh pagar tersebut atau tidak,” katanya.
Selain itu, terdapat beberapa perkataan diconteng pada sisi kereta tersebut termasuk ‘hentikan politik globalisasi’, ‘anda telah merosakkan kanak-kanak dan membunuh orang tua’.
Kereta yang kelihatan tidak mengalami sebarang kerosakan itu menyentuh pagar besi dilengkapi binaan konkrit sebagai langkah keselamatan tambahan menghalang kenderaan asing merempuh masuk ke dalam kawasan pejabat Canselor Angela Merkel berkenaan.
Sementara itu, media Jerman melaporkan kenderaan yang sama didakwa pernah merempuh kawalan keselamatan pada 2014 sebagai tanda protes pemanasan global.
Kereta tersebut turut diconteng dengan perkataan ‘hentikan perubahan iklim yang membunuh manusia’.
Seorang lelaki berusia 48 tahun turut ditahan selepas insiden berkenaan. – AFP