BAGAN SERAI – Banjir membawa kesan buruk kepada orang ramai namun menjadi sumber rezeki buat sesetengah daripada mereka yang rajin berusaha.
Seorang penduduk di Changkat Lobak, Azizul Abdullah, 30, berkata, setiap kali musim banjir, dia tidak akan melepaskan peluang untuk turun menangkap ikan bagi menambah pendapatan tambahan.
“Biasanya saya akan menjala ikan dan memasang pukat di kawasan parit terusan, sungai dan ladang kelapa sawit yang dinaiki air ketika banjir melanda.
“Ketika air naik di kawasan laluan FT147 Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak, terdapat berbagai jenis ikan seperti puyu, tembakang, sepat, baung, haruan dan talapia akan mengikut arus air dalam terusan. Pada hari itu sahaja saya memperolehi sebanyak hampir 20 kilogram ikan pelbagai jenis hasil dari menjala dan memukat,” katanya.
Menurut Azizul, sejak Ahad lalu beliau dapat mengumpul lebih RM400 hasil penjualannya kepada penduduk di kawasan sekitar dengan harga jualan ikan mengikut jenis yang dijual antara RM10 hingga RM30 sekilogram.
Kata Azizul, dia yang hanya bekerja kampung dan tinggal di Changkat Lobak merasa amat bersyukur dengan rezeki yang diperolehinya ketika musim banjir namun turut bersimpati terhadap mangsa banjir yang rumah kediaman mereka dinaiki air.
“Ramai penduduk sekitar yang jadikan musim banjir di kawasan Changkat Lobak untuk memancing dan memukat ikan sebagai satu perolehan rezeki, namun kami yang mencari rezeki dalam situasi begini tetap mengutamakan keselamatan diri terutamanya di kawasan yang dikenal pasti yang airnya dalam dan kawasan yang berbatu,” katanya. -K! ONLINE