PUTRAJAYA – Semua pekerja asing yang merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekerja di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Sabah layak menjalani ujian saringan Covid-19 secara subsidi di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata, tarikh kuat kuasa saringan akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam masa terdekat.
Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan itu selaras dengan keputusan kerajaan yang mewajibkan pekerja asing di negeri-negeri berkenaan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 seperti yang diputuskan melalui Sidang Khas MKN pada 20 November lalu.
Menurutnya, ujian saringan yang menggunakan kaedah RTK antigen itu perlu dijalankan di klinik atau hospital yang berdaftar sebagai Klinik Panel Program Saringan Kesihatan Perkeso (HSP).
“Bagaimanapun, kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan subsidi PSP Perkeso daripada Perkeso.
“Perkeso akan membuat bayaran subsidi sehingga RM60 bagi setiap ujian saringan Covid-19 yang dijalankan. Bayaran ini hanya dibuat sekali sahaja untuk setiap pekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Saravanan berkata, majikan perlu mengambil langkah proaktif dalam mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan oleh kementerian bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.
Maklumat lanjut berkenaan program ini akan dikemaskinikan di Portal PSP Perkeso (https://psp.perkeso.gov.my).
Direktori klinik panel pula boleh dirujuk di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my).
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Perkeso melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089. -K! ONLINE